LAUTAN merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang
tidak terperi indahnya dan tak tercapai dek akal akan kewujudannya.
Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini
masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia.
Ketika manusia di Barat sibuk untuk mewujudkan satu jawatan
tentang siapa yang bakal menjadi jurucakap bumi jika terdapat makhluk asing
yang mahu membuat hubungan dengan manusia hakikatnya lautan yang terbentang
luas itu pun masih jauh lagi untuk diketahui tentang kewujudan spesis yang
terdapat di dalamnya.
Mungkin agak melucukan, namun hasil kajian para saintis
mendapati lebih tiga perempat dari lebih sejuta spesis (mungkin lebih) yang
terdapat di dalam laut masih belum diketahui kewujudannya.
Lautan yang boleh kita tafsirkan sebagai himpunan air masin
yang meliputi permukaan bumi yang dibatasi oleh benua ataupun kepulauan yang
besar merupakan elemen yang dominan di atas muka bumi.
Dianggarkan lautan meliputi 71 peratus dari permukaan bumi,
dengan luas sekitar 361 juta kilometer persegi. Manakala isi lautan pula
dianggarkan sekitar 1370 juta kilometer padu, dengan kedalaman rata-rata 3790
meter.
Berdasarkan hasil kajian rangkaian penyelidik dari Cencus of
Marine Life yang didedahkan pada Selasa lepas, terdapat lebih sejuta spesies
mendiami lautan dengan sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya masih belum
dikenal pasti.
Census of Marine Life merupakan rangkaian penyelidik global
di lebih 80 negara yang telah terlibat secara aktif dalam kajian saintifik
selama 10 tahun tentang kepelbagaian, pergerakan dan cara hidup pelbagai jenis
spesis yang terdapat di dalam laut.
Kajian tersebut yang bernilai AS$650 juta (RM2.08 bilion)
itu telah berjaya menemui lebih 6,000 spesies baru dan beberapa spesies hidupan
yang sebelum ini di kategorikan jarang dijumpai, tetapi sebenarnya banyak
terdapat di dalam laut.
Penyelidikan tersebut melibatkan lebih 2,700 saintis, 670
institusi dan lebih 540 lawatan yang mengambil masa kira-kira 9,000 hari di
laut.
Hampir 30 juta pemerhatian dilakukan ke atas 120,000 jenis
spesies hidupan sepanjang kajian dijalankan.
Menurut laporan tersebut apa yang didedahkan adalah satu
penemuan yang tidak pernah diperolehi sebelum ini.
Ia adalah gambaran tentang kepelbagaian, taburan dan
perbezaan hidupan laut di muka bumi ini, daripada mikrob kepada paus, dari
kawasan kutub berais ke kawasan tropika, daripada ombak di tepi pantai hingga
ke dasar laut yang paling dalam.
Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti hidupan yang
pernah mendiami lautan, yang tinggal di laut masa kini dan kemungkinan spesies
yang boleh hidup di laut pada masa depan.
Menurut penyelidikan tersebut, sebanyak 16,764 spesies ikan
berjaya dikenal pasti setakat ini, tetapi kira-kira 5,000 spesies lagi masih
belum dapat ditentukan jenisnya.
Semua hidupan di permukaan bergantung kepada kehidupan
di dalam dan dasar laut. Hidupan laut mem bekalkan separuh daripada oksigen dan
banyak makanan kepada kita selain mengawal perubahan iklim
Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat
kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir tentang apakah benar
wujudnya kehidupan di angkasa lepas.
Telah terlalu banyak wang dihabiskan untuk membuat kajian
tentang perkara ini sedangkan hakikatnya hidupan di dalam laut itu sendiri
masih terlalu banyak yang tidak diketahui kewujudannya.
Agak menghairankan kenapa perkara ini tidak diberikan
perhatian yang lebih khusus padahal benar-benar terdapat hidupan di dalam laut
yang mungkin boleh memberi kesan yang lebih dalam kehidupan manusia.
Bukan untuk menidakkan kepentingan penerokaan sains angkasa
lepas namun jika ia terlalu tertumpu apakah benar wujud kehidupan di luar sana,
adalah malang jika kita mengabaikan hidupan di dalam laut yang terdapat di bumi
itu sendiri.